bukan alasan untuk membisukan
atau mengikat kedua-dua tangan ke belakang
tapi untuk tuan menjadi lebih berani
berdiri dengan peribadi kendiri
tegas menyatakan kebenaran
tulus menukilkan kemanusiaan
tampil ke hadapan persis panglima Tareq
yang membakar segala kapal perang
agar tentera pimpinannya mara memerangi kebatilan
sambil meniupkan bara ucapan:
"apa yang aku ajak,
akulah yang paling dahulu melakukan,
dan saat menghadapi lawan,
akulah yang paling di hadapan..."
gelar tertinggi yang dianugerahkan
bukan wang ringgit dan segala kemudahan
menjadi ukuran
tapi cabaran untuk tuan buktikan
tugas dan peranan sasterawan
mengasah pena akal merempuh zaman
tajamnya menusuk kebebalan
bisanya meresap ke saraf kedunguan
pedihnya meraung ke segenap alam
mengejutkan mimpi dunia
dari khayali dan kelekaan
menuju bitara dan kebijaksanaan
saat tuan mula berkisah
sebenarnya saat itulah tuan mula
menampar pipi keangkuhan
meruntuhkan tembok kezaliman
sambil membuktikan bahawa tuan
tidak pernah mensesiakan bakat
dan kelebihan yang dikurniakan
bukankah ayat 224 hingga 227
Surah Asy Syu'ara' telah mengingatkan...
tuan,
mengenali sosok peribadi menghayati karya
dan mendengar pidato penerimaan
benarlah, tuan sememangnya layak
menerima anugerah SASTERAWAN
KIP Taman Melati
6 november 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan