Ahad, 15 Ogos 2010

Sketsa Kerinduan

Bonda
masih lagi aku di sini
tersesat di tengah-tengah kesibukan
rusuh angin saling bertolakan
menghantar rinduku ke desa kelahiran

terpaksa aku bertahan, bonda
untuk rezeki yang bakal
menyalakan jamung kehidupan kita
biar pun kusedar segalanya masih
tidak mampu melunasi piutang budimu

percayalah bonda
masih terpateri di mindaku
kokok pertama ayam jantan
di tunggul ketapang
pohonnya dahulu tempat aku
menggantung buaian

kicau burung pagi persis pesta pora
menyambut pawai merdeka di ibu kota
masihkah permatang di hujung bendang
mengalirkan dinginnya ke teratak kita ?

Bonda,
seringkali sketsa ini membuai tidurku
di ranjang resah dikepung belantara batu.

(memenangi Hadiah Karya Utusan Melayu (M) Bhd 1998, dan Hadiah Utusan-Public Bank 1998)

Mengutuk Bangsa Terkutuk

"Kamu semua tidak seharusnya kesal dan merasa berdosa kerana membunuh musuh kamu. Kamu jangan sekali-kali mempunyai sebarang rasa belas kasihan terhadap mereka.
Selagimana kita belum berjaya menghapuskan mereka, dan membina tamadun kita di atas runtuhan tamadun mereka, maka selama itulah kita akan memerangi mereka. Dan selagimana umat Arab tidak menyerah kalah kepada kita, maka selama itulah kita akan lakukan apa sahaja untuk memaksa mereka supaya tunduk menyerah kepada kita..."

(petikan ucapan mantan PM Israel, Manakhem Begin kepada tentera Israel yang terbabit dlm peperangan pada Jun 1967

Selasa, 20 Julai 2010

MEMBACA KEAGUNGAN SILAM

"Orang-orang Yahudi & Nasrani tidak sekali-kali meredhai kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka" (al-Baqarah : 120)

Seluruh dunia menghambur kutukan dan celaan
namun kekejaman masih tetap berterusan
pencabulan masih tetap diizinkan
kerana kutukan umpama sanjungan
celaan bagai puji-pujian
kekejaman adalah sajian makanan
saban hari pasti diratah dan dihabiskan.

Merekalah bangsa terkutuk
bukan sahaja menelan kutukan manusia
bahkan dilaknat Tuhan
kesucian kalam sering kali memberi peringatan
betapa mereka bangsa yang gemar
melanggar perjanjian dan
meluaskan empayar kezaliman.

Mortar, bom dan peluru
sedetik menjadi abu
beradu dengan serangan ketulan batu
asal sejengkal penempatan haram
semakin mereka lebarkan
dan dengan bangga mereka meruntuhkan peradaban
meludahi piagam ketamadunan
demi tagihkan sokongan dan pengiktirafan.

tulang yang mereka gonggong
daging yang mereka mamah
darah yang mereka teguk
mengalir sebati dalam urat nadi
membentuk spesies haiwan
menumbuhkan serakah nafsu durjana
para syaitan yang sukar ditafsirkan.

Menyeringai menampakkan taring kuasa
yang diasah dan ditajamkan sekutu besar mereka
menyalak meuar-uarkan kepada dunia
merekalah bangsa termulia
bebas memburu dan memangsakan sesiapa sahaja
atas nama ketuanan hak dan wilayah
berperang kononnya untuk menentang keganasan.

Sampai sekarang masih bergentayangan persoalan
manakah perginya semangat jihad Badar
untuk kembali dihidupkan
perang sebagai medan terakhir menentukan keputusan
- kemuliaan mengatasi kehinaan
keyakinan menundukkan kecurigaan
kebenaran mengalahkan kebatilan
sehingga di tengah-tengah kecamuk peperangan
Baginda sempat menadah tangan berdoa:
"ya Allah! Kiranya Engkau tidak memberikan
kemenangan kepada perjuangan muslimin,
nescaya selepas ini tidak ada lagi orang
yang akan menyembahmu."

Maka benarlah janji Allah
diturunkan bala tentera malaikat menghulur bantuan
kemenangan atas hak dan istiqamah keimanan
untuk nur Islam terus menerangi semesta alam.

Manakah kilauan "Pedang Allah' di tangan
panglima Khalid al-Walid
yang memimpin tenteranya dengan jitu keberanian
lalu setiap ketua kerajaan yang mahu ditentang
telah diutuskan surat berupa amaran:
"kamu akan menghadapi tentera kami yang
cintakan kematian
sedangkan tentera kamu
lebih cintakan kehidupan."

Manakah pewaris keberanian panglima Tareq Ziad
yang menyalakan semangat bala tenteranya
tatkala membakar segala kapal perang
agar mereka tidak mundur
dan terus mara menentang kebatilan
sambil meniupkan bara ucapan:
"apa yang aku ajak,
akulah yang paling dahulu melakukan
dan saat menghadapi lawan
akulah yang paling di hadapan."

Manakah Salahuddin al-Ayyubi
"pahlawan dari seratus medan perang"
yang akan muncul membebaskan penindasan
menenggelamkan keangkuhan dan kebiadaban
sambil menggilap kembali kemilau
permata kerajaan Andalusia.

Malangnya semakin pudar warna kebenaran
semakin lusuh panji perjuangan
kerana kita umat yang sering leka
dan nanar dibuai keagungan silam
panduan kitab Junjungan dan kesucian kalam
semakin longgar dari genggaman.

Rela kita menjadi kuda tunggangan
memakai topeng para musang berbulu ayam
menuding jari mencari kesalahan
sedang kepala asyik ditekan
untuk tunduk akur tanpa bangun
mengangkat harakat jihad perjuangan.

Maka...
gema kutukan masih riuh kedengaran
sedang kekejaman dan kebiadaban
mereka masih tetap berterusan!


Shukri Abdullah
(disiarkan di Mingguan Malaysia 18 Januari 2009)

Selasa, 22 Jun 2010

MARI KITA

mari kita beramai-ramai
syahid di gaza
kerana mati di sini
sia-sia dan tidak berarti apa-apa

mari kita beramai-ramai
berarak di jalan raya
tanda protes mengutuk kekejaman
zionis celaka
sambil melupakan angkara
zionis di hadapan mata

mari kita beramai-ramai
menangis sehingga kering air mata
meratapi penderitaan dan pemergian
rakyat yang tidak berdosa

sedangkan kematian sekarang
lebih baik buat mereka
daripada terus menanggung derita selamanya
menyaksikan tanah air
dan agama mereka dipersenda

mari kita...
mari kita sejenak berfikir
mencari hikmah mutiara
di sebalik tragedi bencana
yang menimpa !

Selasa, 27 April 2010

BOHONG DAN BENAR

"Pembohongan besar jika disebar..sekali, orang mungkin tidak percaya,
tetapi jika diteruskan berkali-kali..diulang tayang,
orang akan mempercayainya" - Joseph Goebbels

"Seorang pesimis nampak kesukaran di dalam setiap peluang,
seorang optimis nampak peluang di dalam setiap kesukaran" - Winston Churchill

"Ketakutan ada kegunaannya,tetapi penakut tidak ada sebarang guna" - Mahathma Gandhi

"Melaksanakan Islah adalah memenangkan keadilan dan mengalahkan kezaliman" - Imam Fakhr al Din al Razi & Ibnu Katsir

Rabu, 21 April 2010

Peran Panggung

Berdiri seorang aktor di tengah-tengah lapangan
ruang yang menyediakan dirinya
memeran watak pilihan
antara kebenaran yang teruji
atau kebatilan yang terisi

Dia menghayati skrip dan gerak kehidupan
mengintai antara sunyi zulmat
seru nyali semangat
berbara mantera dalam dupa amanat

Dia mula dirasuki roh panggung
perannya bagai belati
menusuk ke jantung
babak demi babak bertingkah
hingga akhirnya semua kecundang bergelimpangan
tinggal dia tegak sebagai pejuang
membusung dadanya mengisytihar kemenangan

Pementasan berakhir
riuh sorak penonton masih bingar
memahkotakan kepalsuan yang tersasar
menenggelamkan dirinya dalam pusar nanar

Isnin, 5 April 2010

TUKANG SILAP MATA

Aku menukangi kerjaku
dengan ketekunan yang luar biasa
menguasai kemahiran - menyembunyikan penipuan
agar terlindung daripada pandangan mata.

Walau ini kerja pembohongan
tetapi semestinya dilihat bijaksana
penonton pula dipaksa mempercayainya
maka selayaknya aku ditauliahkan;
"tukang silap mata @ pakar auta
nombor wahid di dunia."

Sekarang namaku terpampang di mana-mana
melayakkan aku menukangi silap mata
hingga ke pentas=pentas antara bangsa
kelicikanku diakui dengan anugerah muluk-muluk
yang siapapun tak akan mampu menerimanya.

Tetapi kini permainanku kerap terlihat sumbang
lantas kugunakan airmata - senjata simpati
sambil terus menjaja penipuan.

Kusembunyikan wajah gusar penuh kesasar
kutebarkan gebar hitam penuh kepalsuan
anehnya penonton menjerit mahukan kebenaran.

Kugenggam perca kuasa
kubelitkan ke petah lidah membentuk percaya
anehnya penonton tidak lagi sudi menyaksikannya.

Panggung semakin kosong
penonton sudah muak dibohong
maka tinggallah aku terkurung
dalam jeriji ketakutan.

Kulihat sorot lampu
tepat menghunjam membiaskan bayang
menayangkan segala bentuk penyelewengan
dan terdengar pentas seakan bersuara:

"Terlalu sendat kau sogokkan penipuan
sehingga mual untuk penonton menelan...
sekarang ruang tubuhku tak lagi mampu bertahan
pergi ! atau kau kusingkirkan..."

Tiba-tiba pentas mengecilkan ruang
lalu menghimpit kebesaran
membenam sejarah kepalsuan
membuka tirai mempersembahkan kebenaran
-- perlahan-lahan akupun dilenyapkan.

Namun kalian usah lalai
aku pasti kembali
dengan permainan lebih licik, kejam, dan berani !


Sabtu, 27 Februari 2010

BALACI

Belum dikerah sudah sedia mematuk
bak tedung
belum disuruh sudah sedia mengangguk
bak belatuk
belum dipalu sudah sedia menari
bak kenari
lebih sudu daripada kuah lebih ranting daripada buah
lebih kahak daripada ludah

bertalu-talu peluru pujian dihamburkan itulah yang kerap
kali dilaung-laungkan kerana mereka juak-juak paling
hadapan siaga pertahankan kebatilan demi laparkan
pangkat dan kedudukan

sudah sedia berpencak menyusun gerak
sudah sedia bergendang mengisytihar perang
dengan sarat janji menyongsong kepalsuan
dengan sifar akal menyongsang kebenaran

mudah kerja mereka - mengiya setiap tingkah
menghilai setiap dekah
menghitung setiap langkah

agar sederap senada tidak canggung irama
yang kerap kali diulang-ulang dan didodoikan !


Rabu, 6 Januari 2010

Kota Silap Mata


alangkah ajaibnya kotaku
sewaktu berjalan-jalan di hari minggu

menjengah ke kompleks kotaraya
kadang-kadang terasa memijak mozek manila

meninjau harga murah di lorong petaling
seperti berada di tengah-tengah hong kong atau beijing

menuju ke dataran merdeka
di atasnya megah menjulang tiang bendera
tapi di bawahnya kala hujan berlarutan
banjir kilat mampu menenggelamkan kenderaan

riuh kesibukan di chow kit
teriak penjaja bertingkah irama dan goyang dangdut
seperti mengalir kita di tengah-tengah jakarta

mahu rasakan suasana madras atau calcutta
kunjungi sahaja brickfields atau susuri
bahagian belakang jalan berhala

melewati jalan telawi di bangsar
tertusuk pedih halkum
menjamah dan meneguk budaya amerika

apabila terdengar laungan azan
ingin singgah di masjid negara
wah! ramainya orang ingin bersembahyang
rupanya pelancong dari luar negara

nikmat ketenangan di tasik perdana
mahu pun di titiwangsa
sudah menjadi medan asmara
tempat pasangan-pasangan bercengkerama
demikian juga di pasar budaya !
lebihnya di sini sudah jadi tempat
pasangan sesama jantina
alangkah hebatnya...

lajunya simpang siur di jalan raya
selaju arus sungainya selepas hujan menggila
gilanya kesesakan lalulintas yang tidak menentu masa
segila sikap para pemandunya
dan di sini yang ajaibnya
ramai doktor perubatan tanpa kelulusan
membuka klinik-klinik rawatan di bawah jambatan

sekarang kotaku semakin maju
komuter dan elarti bergerak laju tanpa pemandu
tapi di stesennya masih ramai
berkeliaran peragut dan penyeluk-penyeluk saku

stadium merdeka dan stadium negara
sudah menjadi monumen sejarah
apabila kompleks sukan di bukit jalil tersergam indah
tapi anehnya mengapa skuad bolasepak
dan badminton kita masih lagi kalah ?

mahu bercerita tentang kemegahan !
segalanya ada di sini - menara kuala lumpur,
klcc, klia hinggalah ke bandar pintar siberjaya
dan pusat pentadbiran di putrajaya
kita sebagai penghuni memang patut mengkagumi
walau tidak mungkin mampu memiliki

banyak lagi yang belum diteroka
kerana banyaknya kemajuan tercipta
dalam sekelip mata
melengkapkan syarat dan terma
sebagai kota canggih lagi ternama

agh ! alangkah ajaibnya kotaku
menunjukkan kelicikannya bermain silap mata
seperti pemimpinnya juga
yang menyihir rakyat dengan retorika
dan pintar kata-kata...

1990 - 2010

Puisi Sang Pelahap

moyok minda diasak
dihentak beban pergolakan
plot cerita bercapah tajam
terkoyak kelir kuasa
lukanya terbenam diam dalam-dalam

sesudah sekian lama diperbudak
tanpa silu rakus menceroboh lalu
merampas hak dan pilihan
-- perlukah menjadi bidak
bebas dipercatur di meja keangkuhan

segala fitnah dengan wajah menakutkan
turun menebar sayap zulmat
hingga keliru menggoyah waras pertimbangan
leka menatap kebenaran
lahap diratah serakah kebatilan

sila...
silakan mengisi tembolok kuasa
tak pernah puas sendawanya
yang memuntahkan kembali hanyir
dan kebusukan
sambil sepakat mencapai keputusan
--mualnya adalah nikmat
untuk diteguk dan ditelan !


Januari 2010