Sabtu, 27 Februari 2010

BALACI

Belum dikerah sudah sedia mematuk
bak tedung
belum disuruh sudah sedia mengangguk
bak belatuk
belum dipalu sudah sedia menari
bak kenari
lebih sudu daripada kuah lebih ranting daripada buah
lebih kahak daripada ludah

bertalu-talu peluru pujian dihamburkan itulah yang kerap
kali dilaung-laungkan kerana mereka juak-juak paling
hadapan siaga pertahankan kebatilan demi laparkan
pangkat dan kedudukan

sudah sedia berpencak menyusun gerak
sudah sedia bergendang mengisytihar perang
dengan sarat janji menyongsong kepalsuan
dengan sifar akal menyongsang kebenaran

mudah kerja mereka - mengiya setiap tingkah
menghilai setiap dekah
menghitung setiap langkah

agar sederap senada tidak canggung irama
yang kerap kali diulang-ulang dan didodoikan !


1 ulasan: