Berdiri seorang aktor di tengah-tengah lapangan
ruang yang menyediakan dirinya
memeran watak pilihan
antara kebenaran yang teruji
atau kebatilan yang terisi
Dia menghayati skrip dan gerak kehidupan
mengintai antara sunyi zulmat
seru nyali semangat
berbara mantera dalam dupa amanat
Dia mula dirasuki roh panggung
perannya bagai belati
menusuk ke jantung
babak demi babak bertingkah
hingga akhirnya semua kecundang bergelimpangan
tinggal dia tegak sebagai pejuang
membusung dadanya mengisytihar kemenangan
Pementasan berakhir
riuh sorak penonton masih bingar
memahkotakan kepalsuan yang tersasar
menenggelamkan dirinya dalam pusar nanar
Memang inilah realiti di hadapan mata. Yang paling jahat dilonjakkan paling atas dengan pelbagai gelar terpuji. Padahal merekalah penipu, penyangak dan pemabuk nombor wahid
BalasPadam