Jumaat, 25 Disember 2009

Pesanan akhir as-syahid Saiyid Qutb

Saudara!
Seandainya kau tangisi kematianku
dan kau siram pusaraku dengan air matamu
maka di atas tulang-temulangku
yang hancur luluh,
nyalakanlah obor buat umat ini
dan...teruskan perjalanan ke gerbang jaya.

Saudara!
Kematianku adalah suatu perjalanan
mendapatkan kekasih yang sedang merindu
taman-taman di syurga
Tuhanku bangga menerimaku
burung-burungnya berkicau riang menyambutku
bahagialah hidupku di alam abadi.

Saudara!
Puaka kegelapan pasti akan hancur
dan alam ini akan disinari fajar lagi
biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya
janganlah gentar berkelana di alam abadi
nun di sana fajar sedang memancar menanti...

(ditulis beberapa ketika sebelum beliau menemui syahidnya - dihukum gantung oleh penguasa yang zalim)

Jumaat, 6 November 2009

SIKECIL YANG SUDAH JENAZAH (arwah adik Nurul Jazlin yang semakin dilupakan)

dia sikecil yang sudah menjadi jenazah
mangsa kepada kerakusan sebuah
perundangan tinggalan penjajah

jika rohnya mampu berhujah
akan dipersoalkan harapan
dan kebergantungan kita pada
sebuah peradaban hadhari
yang seringkali dicanangkan
tidak lebih berupa slogan
sedangkan kekejaman makin merangsang
persekitaran sudah tidak menjanjikan keselamatan

dia sikecil yang sudah menjadi jenazah
mangsa kepada batu kedegilan
yang mengocakkan kemanusiaan

jika rohnya mampu bertingkah
akan dipersalahkan kebanggaan kita
yang mencanang matangnya usia kemerdekaan
tetapi masih tetap mewarisi perundangan penjajah
sekaligus meremehkan keberkatan pedoman
al-Quran dan as-Sunnah !

Powerful - Bloody Fool

Sebagai pemimpin... apabila diberikan amanah atau kuasa oleh rakyat,
mereka adalah POWERFUL ... maka, hak kuasa ini mesti dijalankan oleh
pemimpin dengan sepenuh hati untuk kepentingan rakyat...

Tapi apa yang terjadi adalah... para pemimpin kehilangan arah
dan tidak tahu menggunakan kuasa mereka sehingga kuasa itu
diragut secara haram oleh 'mafia politik'... ia seolah-olah
menjelaskan bahawa pemimpin kita sebenarnya BLOODY FOOL !

Hancurkan musuh-musuh Islam

.."Ya Allah, kami letakkan Engkau
di batang tengkuk musuh kami
dan kami memohon perlindungan-Mu
daripada kejahatan mereka.

Ya Allah, hancurkanlah kekuatan mereka
pecah-belahkanlah kesatuan mereka
patahkanlah hujah mereka
goncangkanlah pendirian mereka
dan hantarkanlah pada mereka
anjing-anjing dari-Mu.

Ya Qahhar..Ya Jabbar,
Tuhan yang menurunkan kitab
dan yang menggerakkan awan,
dan yang menghancurkan tentera Ahzab
hancurkanlah mereka dan bantulah kami

Amin...ya Rabbal A'lamin."


(maksud Qunut Nazilah)

Surah untuk para penyair

..."Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat.
Tidakkah kamu melihat bahawa mereka mengembara
dari lembah ke lembah, dan mereka suka mengatakan
apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya...
kecuali mereka (penyair) yang beriman dan beramal soleh,
dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan
sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim
itu kelak akan mengetahui
ke tempat mana mereka akan kembali."

(Maksud Surah Asy Syu'ara' : ayat 224 - 227)

Puisi @ Pidato Penghargaan buat SN ke-10

gelar tertinggi yang dianugerahkan
bukan alasan untuk membisukan
atau mengikat kedua-dua tangan ke belakang

tapi untuk tuan menjadi lebih berani
berdiri dengan peribadi kendiri
tegas menyatakan kebenaran
tulus menukilkan kemanusiaan
tampil ke hadapan persis panglima Tareq
yang membakar segala kapal perang
agar tentera pimpinannya mara memerangi kebatilan
sambil meniupkan bara ucapan:
"apa yang aku ajak,
akulah yang paling dahulu melakukan,
dan saat menghadapi lawan,
akulah yang paling di hadapan..."

gelar tertinggi yang dianugerahkan
bukan wang ringgit dan segala kemudahan
menjadi ukuran
tapi cabaran untuk tuan buktikan
tugas dan peranan sasterawan
mengasah pena akal merempuh zaman
tajamnya menusuk kebebalan
bisanya meresap ke saraf kedunguan
pedihnya meraung ke segenap alam
mengejutkan mimpi dunia
dari khayali dan kelekaan
menuju bitara dan kebijaksanaan

saat tuan mula berkisah
sebenarnya saat itulah tuan mula
menampar pipi keangkuhan
meruntuhkan tembok kezaliman
sambil membuktikan bahawa tuan
tidak pernah mensesiakan bakat
dan kelebihan yang dikurniakan
bukankah ayat 224 hingga 227
Surah Asy Syu'ara' telah mengingatkan...

tuan,
mengenali sosok peribadi menghayati karya
dan mendengar pidato penerimaan
benarlah, tuan sememangnya layak
menerima anugerah SASTERAWAN


KIP Taman Melati
6 november 2009

Isnin, 7 September 2009

Mencari Bahagia

Kita hairan melihat seorang yang berusaha menyisir rambutnya setiap hari,
tetapi tidak disisir otaknya, berusaha membusungkan dadanya,
tetapi tidak dibusungkan hatinya. Menggosok sepatunya tetapi tidak
digosok akalnya, hingga ia tidak bertemu dengan bahagia. Hanya dia mendengar
daripada orang lain - dari mulut ke mulut sahaja. Ia hampir dengan orang yang
bahagia, tetapi dia sendiri jauh daripada bahagia... (Kiai Hamka)

Puisi Perjuangan

dalam keberkatan Ramadhan
ambillah iktibar dan peringatan
bagaimana kesatuan dan kekuatan aqidah
tentera Badar al-Qubra pimpinan Baginda saw
- perang yang menjadi penentu kemenangan
atau kekalahan selama-lamanya,
sehingga di tengah-tengah kecamuk peperangan
Baginda saw menadah tangan berdoa;
" Ya Allah, kiranya Engkau tidak memberikan
kemenangan kepada perjuangan Muslimin,
nescaya selepas ini tidak ada lagi orang
yang akan menyembahmu."

Benarlah janji Allah
kemenangan atas kebenaran
untuk nur Islam terus menerangi ke serata alam

Rabu, 22 Julai 2009

Beberapa Catatan buat Peringatan

Politik adalah hal di mana para Pelabor meniduri kelas Pekerja, Pemerintah tertidur lelap, Rakyat diabaikan, dan Masa Depan berada dalam keadaan yang menyedihkan...

Tiada yang lebih jahat berbanding mereka yang membuat peraturan kemudiannya mereka sendiri yang mencabuli peraturan yang mereka cipta...

Jangan kita membangun sambil merobohkan - membangun gedung sambil merobohkan akhlak, membangun industri sambil menindas pekerja, membina prasarana sambil memusnahkan lingkungan...

Perubahan memerlukan komitmen yang tuntas dan berlandaskan kesedaran murni bagi membebaskan negara dari kebobrokan yang sudah lama mengakar. Laungan untuk melaksanakan perubahan mestilah seiring dengan usaha untuk menjayakannya - Perubahan bukanlah hanya untuk meraih kepentingan politik...

Politik himpun kuasa - membina atau mendurja...

Khamis, 2 Julai 2009

Pelancaran Hari Peneroka

Aku dapat suatu undangan untuk berada di pentas Pelancaran Hari Peneroka pada 7 Julai nanti di Segamat, Johor. Urusetia (pihak Felda) beriya-iya mendesak aku menulis dan membacakan puisi tentang perjuangan arwah Tun membuka tanah rancangan Felda untuk menolong bangsa Melayu. Disebut-sebut vvip yang akan hadir, antaranya PM, TPM, MB dan kebanyakan menteri kabinet... (apa gua peduli!)
Agendanya mega selepas aku menghadiri perjumpaan dan puas mendengar taklimat Tan Sri Pengerusi Felda pagi tadi. Gimik yang bakal dicetuskan oleh Pak Ngah Productions macam bisa mengejutkan.
Apa yang aku nak ceritakan ialah tentang kesungguhan dan kepercayaan mereka bahawa dengan menyelitkan puisi akan membuka pintu minda sekaligus menterjemahkan hasrat dan agenda. Anehnya mengapa kononnya, dalam arus globalisasi sekarang...kesusasteraan semakin dipinggirkan seperti juga bidang pertanian sedikit masa lalu tenggelam dalam keseronokan mengejar perindustrian. Dan sekarang nampaknya mereka kembali melihat bidang pertanian sebagai agenda penting menjana pendapatan negara apalagi dalam menghadapi kesan kegawatan ekonomi sekarang...
Aku percaya demikian juga bidang kesusasteraan... suatu hari nanti mereka akan kembali memikirkan kepentingannya kepada anak-anak sekolah yang makin muflis nilai-nilai jati diri.

Isnin, 1 Jun 2009

Malam Puisi dan Hadiah Sastera Utusan

Insya Allah... terbaharu aku menerima jemputan untuk turut sama berdeklamasi pada Malam Puisi Utusan di Istana Budaya yang gah itu malam 12 Jun nanti.
Kemuncak acara anjuran Utusan Melayu adalah pada 19 Jun, juga di lokasi yang sama aku turut sama dianugerahi pengiktirafan - pemenang Hadiah Utama Puisi pada majlis Hadiah Sastera Utusan Melayu. Alhamdulillah... bertambah koleksi pengiktirafan ke atas karya-karyaku di kertas seiring dengan pengiktirafan di pentas. Cuma satu yang masih terkilan, karya-karyaku di kertas masih terbiar dan belum berkesempatan untuk dibukukan. Sepertimana sindir rakan penyair yang sudah menerbitkan sekian banyak buku, katanya dalam suatu majlis sastera: "Penyair yang sudah banyak memenangi sayembara peringkat perdana, tapi masih belum memiliki buku..." Suatu cabaran untukku!

Mengapa di Kertas, Mengapa di Pentas?

Aku bermula dengan catatan-catatan peribadi seputar diri tapi lebih awal dari itu - pada zaman kanak, aku sudah pandai berintonasi dalam menggayakan pelbagai watak dalam komik-komik bergambar yang popular. Karya pertamaku berupa puisi - kalau pun boleh dianggap puisi tersiar di majalah Siswa DBP... semenjak itu mula memasang cita untuk menjadi penyair!
Aksi di pentas bermula dengan kemenangan pada suatu sayembara deklamasi di sekolah setelah teruja dengan karektor Osman Tikus dalam filem "Kembara Seniman Jalanan". Kemudian mula serius menggulati pentas teater secara amatur sehinggalah berkembang ke takah lebih antarabangsa di menara gading.
Ekoran Perhimpunan Penulis Muda Pertama (PPMM) seputar penghujung 80-an, aku mula menggulati serakah kota. Karya-karyaku mula bertapak di media cetak seiring gerak di pentas teater dan deklamasi. Secara perlahan, gelombang teater dalam diri makin surut seusai aku dinobatkan menjuarai pentas deklamasi di peringkat kebangsaan pada 1996. Tanpa lagi menoleh, pentas deklamasi sudah menjadi serasi dalam diri sehinggalah sekarang. Dan jawapan kepadanya ialah karya-karya puisi sendiri terasa lebih sebati dan senang kuhayati.
Alhamdulillah... berbekal tegar dan keyakinan, aku sudah mampu berdiri di pentas dengan karya-karyaku di kertas sehingga kini...Insya Allah, pilihan ini akan tetap kuteruskan!

Ahad, 24 Mei 2009

Himpunan Penulis Muda

Mendengar khabar gembira suatu perhimpunan antara kelompok penulis muda telah berjaya dilangsungkan di Puteri Resort, Melaka. Tahniah kepada para penggerak yang merealisasikannya. Terhantar kenangan sewaktu kali pertama menyertai Himpunan Penulis Muda di KBN, Padang Merbok (sekarang tapak ASWARA) sekitar tahun 1987, kemudian di Langkawi, Kem Kijang Kelantan sehingga ke Kukup, Pontian - aku antaranya yang tidak pernah gagal menyertai. Cuma timbul persoalan, apakah gagasan yang dipersetujui mampu direalisasikan di tengah-tengah kemelut yang berlaku sekarang! Atau sekadar meneruskan kelangsungan tradisi yang tidak mampu merobah apa-apa. Atas bahu kawakan penulis muda mungkin ketemu jawapannya !

Berani Menghadapi Kematian

Berani menghadapi kematian, sama ertinya dengan berani menghadapi kehidupan.
Apa yang ditakutkan dengan mati di medan tempur, atau di tali gantung, atau di depan penembak tepat, sekiranya kita di atas landasan kebenaran. Sakit menghadapi mati itu sama sahaja walaupun nafas kita berakhir di atas tilam empuk - kerana yang menentukan derita sakratul maut adalah amalan kita, bukannya cara kematian itu !