Rabu, 14 Disember 2011

Mengelirukan Kebenaran

kita dipaksa mengiya kebatilan
sedangkan kita punya pilihan
untuk menafikan

tetapi kita tidak mampu
melawan apalagi bertahan
biarpun dalam fikiran

kerana mereka punya kearifan
menguasai suasana massa
dan pintar membolak-balikkan makna

akhirnya kebenaran
hanya tinggal sebagai impian
yang kabur dikelirukan ketakutan

Selasa, 25 Oktober 2011

Cahaya Kekasihku

Malap pelita sekian lama kunyalakan
sumbunya kian terpadam
tinggal diam aku pada sudut kelam

Dengan legam jiwa
cuba kuintai sisa cahaya
ternyata wajah harap enggan
mempamerkan senyum bahagia
apakah selamanya harus aku
terpidana di jeriji sengsara

Tika putus asa mendaki ke puncak
ada cerlang cahaya membentur lembutnya
menghantar dirimu melukis pesona
- tanpa jemu menggilap percaya

Cahaya Kekasihku,
kau harum pada kuntum
kau rimbun pada pohon

Maka tanpa risi dan curiga
hiasilah laman jiwa dengan taqwa
lengkapilah rumah percaya dengan setia
lestarilah agam cinta kita selama-lamanya
lestarilah

Selasa, 18 Oktober 2011

Peluru Abad ke-21

Satu musuh satu peluru
tapi pada abad ke-21:

satu peluru sasarannya
musuh beribu-ribu...

siapa mangsa berikutnya?

Ahad, 31 Julai 2011

Syahru Ramadhan

Tanpa disedari,
11 bulan banyak kata telah dibicarakan
tidak semua menyejukkan...
11 bulan banyak perilaku yang telah dilakukan
tidak semua menyenangkan...
11 bulan banyak keluhan, kebencian dan kemarahan
tidak semua mungkin dimaafkan...

Kini,
istirehat dalam perjalanan dunia...
saatnya membersihkan jiwa yang berjelaga,
saatnya menikmati indahnya kemurahan Allah
saatnya memahami makna penyucian diri,
saatnya memuhasabah kembara kehidupan,
saatnya menghitung bekalan akhirat,
saatnya merenung kealpaan dunia.....

bersama kita leburkan kekhilafan,
bersama kita hapuskan hasad dengki.
bersama kita lenyapkan igauan ngeri,
bersama kita sucikan hati nurani,
bersama kita kikiskan kedaifan diri.....

Moga dengan ibadah puasa mempertemukan kita keagungan Lailatul Qadar,
dan kita menjadi salah seorang pilhan-Nya untuk dimakbulkan doa-doa,
dan kembali kita menjadi fitrah... Aminn

Khamis, 3 Mac 2011

Biarlah Menjadi...

lebih nikmat
menjadi rama-rama
atau merpati
daripada kelkatu
yang hanya tergoda
pada kemilau cahaya

atau lebih jujur
daripada sesumpah
yang bijak menukar
warna dirinya

indah godaan
cuma sementara
jujur keikhlasan
mahal dan kekal selamanya...

Khamis, 13 Januari 2011

Kisah Orang

ada parti
tempat orang makan orang...

ada negeri
beri pada orang...

ada tanah
gadai pada orang...

ada kuasa
kongsi dengan orang...

bila berkuasa
suka tangkap orang...

ada projek
jual pada orang...

ada air
lelong pada orang...

mahu jadi pemimpin
fitnah orang...

ramai pemimpin
cuma jadi kutukan orang
kerana tak mahu dengar cakap orang...

pemimpin bila melancong
pergi negeri orang...

bila makan
kenyang seorang...

pemimpin hidup mewah
dengan tidak mempeduli orang...

pemimpin datang berkempen
terpaksa dikumpul dan dibayar orang...

suka berdebat
hendak kalahkan orang
bukan mahu menegak kebenaran...

ramai orang pulak
jadi orang-orang...

yang pasti
hanya tinggal masjid dan surau
yang cantik
tapi tak ada orang...