Isnin, 1 Jun 2009

Malam Puisi dan Hadiah Sastera Utusan

Insya Allah... terbaharu aku menerima jemputan untuk turut sama berdeklamasi pada Malam Puisi Utusan di Istana Budaya yang gah itu malam 12 Jun nanti.
Kemuncak acara anjuran Utusan Melayu adalah pada 19 Jun, juga di lokasi yang sama aku turut sama dianugerahi pengiktirafan - pemenang Hadiah Utama Puisi pada majlis Hadiah Sastera Utusan Melayu. Alhamdulillah... bertambah koleksi pengiktirafan ke atas karya-karyaku di kertas seiring dengan pengiktirafan di pentas. Cuma satu yang masih terkilan, karya-karyaku di kertas masih terbiar dan belum berkesempatan untuk dibukukan. Sepertimana sindir rakan penyair yang sudah menerbitkan sekian banyak buku, katanya dalam suatu majlis sastera: "Penyair yang sudah banyak memenangi sayembara peringkat perdana, tapi masih belum memiliki buku..." Suatu cabaran untukku!

Mengapa di Kertas, Mengapa di Pentas?

Aku bermula dengan catatan-catatan peribadi seputar diri tapi lebih awal dari itu - pada zaman kanak, aku sudah pandai berintonasi dalam menggayakan pelbagai watak dalam komik-komik bergambar yang popular. Karya pertamaku berupa puisi - kalau pun boleh dianggap puisi tersiar di majalah Siswa DBP... semenjak itu mula memasang cita untuk menjadi penyair!
Aksi di pentas bermula dengan kemenangan pada suatu sayembara deklamasi di sekolah setelah teruja dengan karektor Osman Tikus dalam filem "Kembara Seniman Jalanan". Kemudian mula serius menggulati pentas teater secara amatur sehinggalah berkembang ke takah lebih antarabangsa di menara gading.
Ekoran Perhimpunan Penulis Muda Pertama (PPMM) seputar penghujung 80-an, aku mula menggulati serakah kota. Karya-karyaku mula bertapak di media cetak seiring gerak di pentas teater dan deklamasi. Secara perlahan, gelombang teater dalam diri makin surut seusai aku dinobatkan menjuarai pentas deklamasi di peringkat kebangsaan pada 1996. Tanpa lagi menoleh, pentas deklamasi sudah menjadi serasi dalam diri sehinggalah sekarang. Dan jawapan kepadanya ialah karya-karya puisi sendiri terasa lebih sebati dan senang kuhayati.
Alhamdulillah... berbekal tegar dan keyakinan, aku sudah mampu berdiri di pentas dengan karya-karyaku di kertas sehingga kini...Insya Allah, pilihan ini akan tetap kuteruskan!