Rabu, 6 Januari 2010

Kota Silap Mata


alangkah ajaibnya kotaku
sewaktu berjalan-jalan di hari minggu

menjengah ke kompleks kotaraya
kadang-kadang terasa memijak mozek manila

meninjau harga murah di lorong petaling
seperti berada di tengah-tengah hong kong atau beijing

menuju ke dataran merdeka
di atasnya megah menjulang tiang bendera
tapi di bawahnya kala hujan berlarutan
banjir kilat mampu menenggelamkan kenderaan

riuh kesibukan di chow kit
teriak penjaja bertingkah irama dan goyang dangdut
seperti mengalir kita di tengah-tengah jakarta

mahu rasakan suasana madras atau calcutta
kunjungi sahaja brickfields atau susuri
bahagian belakang jalan berhala

melewati jalan telawi di bangsar
tertusuk pedih halkum
menjamah dan meneguk budaya amerika

apabila terdengar laungan azan
ingin singgah di masjid negara
wah! ramainya orang ingin bersembahyang
rupanya pelancong dari luar negara

nikmat ketenangan di tasik perdana
mahu pun di titiwangsa
sudah menjadi medan asmara
tempat pasangan-pasangan bercengkerama
demikian juga di pasar budaya !
lebihnya di sini sudah jadi tempat
pasangan sesama jantina
alangkah hebatnya...

lajunya simpang siur di jalan raya
selaju arus sungainya selepas hujan menggila
gilanya kesesakan lalulintas yang tidak menentu masa
segila sikap para pemandunya
dan di sini yang ajaibnya
ramai doktor perubatan tanpa kelulusan
membuka klinik-klinik rawatan di bawah jambatan

sekarang kotaku semakin maju
komuter dan elarti bergerak laju tanpa pemandu
tapi di stesennya masih ramai
berkeliaran peragut dan penyeluk-penyeluk saku

stadium merdeka dan stadium negara
sudah menjadi monumen sejarah
apabila kompleks sukan di bukit jalil tersergam indah
tapi anehnya mengapa skuad bolasepak
dan badminton kita masih lagi kalah ?

mahu bercerita tentang kemegahan !
segalanya ada di sini - menara kuala lumpur,
klcc, klia hinggalah ke bandar pintar siberjaya
dan pusat pentadbiran di putrajaya
kita sebagai penghuni memang patut mengkagumi
walau tidak mungkin mampu memiliki

banyak lagi yang belum diteroka
kerana banyaknya kemajuan tercipta
dalam sekelip mata
melengkapkan syarat dan terma
sebagai kota canggih lagi ternama

agh ! alangkah ajaibnya kotaku
menunjukkan kelicikannya bermain silap mata
seperti pemimpinnya juga
yang menyihir rakyat dengan retorika
dan pintar kata-kata...

1990 - 2010

Puisi Sang Pelahap

moyok minda diasak
dihentak beban pergolakan
plot cerita bercapah tajam
terkoyak kelir kuasa
lukanya terbenam diam dalam-dalam

sesudah sekian lama diperbudak
tanpa silu rakus menceroboh lalu
merampas hak dan pilihan
-- perlukah menjadi bidak
bebas dipercatur di meja keangkuhan

segala fitnah dengan wajah menakutkan
turun menebar sayap zulmat
hingga keliru menggoyah waras pertimbangan
leka menatap kebenaran
lahap diratah serakah kebatilan

sila...
silakan mengisi tembolok kuasa
tak pernah puas sendawanya
yang memuntahkan kembali hanyir
dan kebusukan
sambil sepakat mencapai keputusan
--mualnya adalah nikmat
untuk diteguk dan ditelan !


Januari 2010