Rabu, 6 Januari 2010

Kota Silap Mata


alangkah ajaibnya kotaku
sewaktu berjalan-jalan di hari minggu

menjengah ke kompleks kotaraya
kadang-kadang terasa memijak mozek manila

meninjau harga murah di lorong petaling
seperti berada di tengah-tengah hong kong atau beijing

menuju ke dataran merdeka
di atasnya megah menjulang tiang bendera
tapi di bawahnya kala hujan berlarutan
banjir kilat mampu menenggelamkan kenderaan

riuh kesibukan di chow kit
teriak penjaja bertingkah irama dan goyang dangdut
seperti mengalir kita di tengah-tengah jakarta

mahu rasakan suasana madras atau calcutta
kunjungi sahaja brickfields atau susuri
bahagian belakang jalan berhala

melewati jalan telawi di bangsar
tertusuk pedih halkum
menjamah dan meneguk budaya amerika

apabila terdengar laungan azan
ingin singgah di masjid negara
wah! ramainya orang ingin bersembahyang
rupanya pelancong dari luar negara

nikmat ketenangan di tasik perdana
mahu pun di titiwangsa
sudah menjadi medan asmara
tempat pasangan-pasangan bercengkerama
demikian juga di pasar budaya !
lebihnya di sini sudah jadi tempat
pasangan sesama jantina
alangkah hebatnya...

lajunya simpang siur di jalan raya
selaju arus sungainya selepas hujan menggila
gilanya kesesakan lalulintas yang tidak menentu masa
segila sikap para pemandunya
dan di sini yang ajaibnya
ramai doktor perubatan tanpa kelulusan
membuka klinik-klinik rawatan di bawah jambatan

sekarang kotaku semakin maju
komuter dan elarti bergerak laju tanpa pemandu
tapi di stesennya masih ramai
berkeliaran peragut dan penyeluk-penyeluk saku

stadium merdeka dan stadium negara
sudah menjadi monumen sejarah
apabila kompleks sukan di bukit jalil tersergam indah
tapi anehnya mengapa skuad bolasepak
dan badminton kita masih lagi kalah ?

mahu bercerita tentang kemegahan !
segalanya ada di sini - menara kuala lumpur,
klcc, klia hinggalah ke bandar pintar siberjaya
dan pusat pentadbiran di putrajaya
kita sebagai penghuni memang patut mengkagumi
walau tidak mungkin mampu memiliki

banyak lagi yang belum diteroka
kerana banyaknya kemajuan tercipta
dalam sekelip mata
melengkapkan syarat dan terma
sebagai kota canggih lagi ternama

agh ! alangkah ajaibnya kotaku
menunjukkan kelicikannya bermain silap mata
seperti pemimpinnya juga
yang menyihir rakyat dengan retorika
dan pintar kata-kata...

1990 - 2010

Puisi Sang Pelahap

moyok minda diasak
dihentak beban pergolakan
plot cerita bercapah tajam
terkoyak kelir kuasa
lukanya terbenam diam dalam-dalam

sesudah sekian lama diperbudak
tanpa silu rakus menceroboh lalu
merampas hak dan pilihan
-- perlukah menjadi bidak
bebas dipercatur di meja keangkuhan

segala fitnah dengan wajah menakutkan
turun menebar sayap zulmat
hingga keliru menggoyah waras pertimbangan
leka menatap kebenaran
lahap diratah serakah kebatilan

sila...
silakan mengisi tembolok kuasa
tak pernah puas sendawanya
yang memuntahkan kembali hanyir
dan kebusukan
sambil sepakat mencapai keputusan
--mualnya adalah nikmat
untuk diteguk dan ditelan !


Januari 2010

Jumaat, 25 Disember 2009

Pesanan akhir as-syahid Saiyid Qutb

Saudara!
Seandainya kau tangisi kematianku
dan kau siram pusaraku dengan air matamu
maka di atas tulang-temulangku
yang hancur luluh,
nyalakanlah obor buat umat ini
dan...teruskan perjalanan ke gerbang jaya.

Saudara!
Kematianku adalah suatu perjalanan
mendapatkan kekasih yang sedang merindu
taman-taman di syurga
Tuhanku bangga menerimaku
burung-burungnya berkicau riang menyambutku
bahagialah hidupku di alam abadi.

Saudara!
Puaka kegelapan pasti akan hancur
dan alam ini akan disinari fajar lagi
biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya
janganlah gentar berkelana di alam abadi
nun di sana fajar sedang memancar menanti...

(ditulis beberapa ketika sebelum beliau menemui syahidnya - dihukum gantung oleh penguasa yang zalim)

Jumaat, 6 November 2009

SIKECIL YANG SUDAH JENAZAH (arwah adik Nurul Jazlin yang semakin dilupakan)

dia sikecil yang sudah menjadi jenazah
mangsa kepada kerakusan sebuah
perundangan tinggalan penjajah

jika rohnya mampu berhujah
akan dipersoalkan harapan
dan kebergantungan kita pada
sebuah peradaban hadhari
yang seringkali dicanangkan
tidak lebih berupa slogan
sedangkan kekejaman makin merangsang
persekitaran sudah tidak menjanjikan keselamatan

dia sikecil yang sudah menjadi jenazah
mangsa kepada batu kedegilan
yang mengocakkan kemanusiaan

jika rohnya mampu bertingkah
akan dipersalahkan kebanggaan kita
yang mencanang matangnya usia kemerdekaan
tetapi masih tetap mewarisi perundangan penjajah
sekaligus meremehkan keberkatan pedoman
al-Quran dan as-Sunnah !

Powerful - Bloody Fool

Sebagai pemimpin... apabila diberikan amanah atau kuasa oleh rakyat,
mereka adalah POWERFUL ... maka, hak kuasa ini mesti dijalankan oleh
pemimpin dengan sepenuh hati untuk kepentingan rakyat...

Tapi apa yang terjadi adalah... para pemimpin kehilangan arah
dan tidak tahu menggunakan kuasa mereka sehingga kuasa itu
diragut secara haram oleh 'mafia politik'... ia seolah-olah
menjelaskan bahawa pemimpin kita sebenarnya BLOODY FOOL !

Hancurkan musuh-musuh Islam

.."Ya Allah, kami letakkan Engkau
di batang tengkuk musuh kami
dan kami memohon perlindungan-Mu
daripada kejahatan mereka.

Ya Allah, hancurkanlah kekuatan mereka
pecah-belahkanlah kesatuan mereka
patahkanlah hujah mereka
goncangkanlah pendirian mereka
dan hantarkanlah pada mereka
anjing-anjing dari-Mu.

Ya Qahhar..Ya Jabbar,
Tuhan yang menurunkan kitab
dan yang menggerakkan awan,
dan yang menghancurkan tentera Ahzab
hancurkanlah mereka dan bantulah kami

Amin...ya Rabbal A'lamin."


(maksud Qunut Nazilah)

Surah untuk para penyair

..."Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat.
Tidakkah kamu melihat bahawa mereka mengembara
dari lembah ke lembah, dan mereka suka mengatakan
apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya...
kecuali mereka (penyair) yang beriman dan beramal soleh,
dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan
sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim
itu kelak akan mengetahui
ke tempat mana mereka akan kembali."

(Maksud Surah Asy Syu'ara' : ayat 224 - 227)